Friday, October 1, 2010

makan gaji atau kerja sendiri

Fuhhhh, sedap betul nasik lemak makcik ni..! Aku ingat nak meniaga nasik lemak gak la...

“Zack, aku tengok kencang betul bisnes kau ni. Berapa untung sehari?”, tegur Usop. Zack sedang sibuk menutup gerai nasi lemak miliknya.

“Boleh la, purata sehari dalam RM500”, jawab Zack, ringkas.

“Wah, loaded kau ! Aku makan gaji ni sehari dalam RM100 je”, balas Usop. Kagum dengan pencapaian sahabatnya.

“Meniaga ni memang untung. Sebab tu aku tak suka makan gaji. Kerja kuat-kuat nak kayakan orang”, Zack berhujah.

“Aku ingat macam tu juga la, tapi nak bisnes apa Zack? Aku bukan reti pun meniaga ni”, Usop menyambung.

“Macam-macam boleh buat bisnes. Senang je, yang penting usaha”, Zack memberi semangat.

“Nantilah aku fikir, tengok dulu macam mana”, sahut Usop tawar. Zack hanya tersenyum.

Buat Pilihan Tepat

Saya yakin semua graduan di IPT berhadapan dengan dilema ini.

MAKAN GAJI atau KERJA SENDIRI ?

Nasihat saya mudah, kenali potensi diri anda dahulu sebelum membuat pilihan.

Jangan sesekali ikut orang lain. Saya tekankan sekali lagi JANGAN IKUT ORANG!

Anda jumpa sepupu buat gerai burger laris, anda nak jual burger.

Anda terserempak kawan lama jual insurans, anda pun nak turut serta.

Anda melihat pensyarah gah memberi kuliah, anda mahu sambung belajar. Jadi pensyarah.

Anda ternampak penternak lembu feedlot mengira duit, anda pun nak ‘berkawan’ dengan lembu juga!

Anda harus jadi DIRI SENDIRI. Lakukan pertimbangan sendiri, buat keputusan sendiri.

Pengalaman orang lain sangat berguna untuk anda membuat keputusan. Kesilapannya, anda memilih untuk menjadi orang tersebut. Anda hanya boleh menjadi diri anda sendiri, bukan orang lain.

Pertimbangan kerjaya anda bukan untuk memungut sebanyak mana wang yang boleh. Anda ingin mengejar wang, wang akan lari jauh dari anda.

Jika benar berniaga menguntungkan, kenapa masih ramai yang rugi?

Jika makan gaji itu mudah dan terjamin, kenapa pegawai kerajaanlah paling banyak overdebt (berhutang melebihi kemampuan) dan menerima rasuah? Tak cukupkah gaji mereka?

Satu sebabnya ialah, mereka tidak menjiwai kerjaya sendiri. Barangkali sekadar ikut-ikut atau terpaksa bekerja. Anda menempah sengsara andai memilih ‘jalan’ begitu.

Kerja Sendiri adalah Kerjaya Masa Depan?

200 tahun yang lampau, istilah ‘makan gaji’ tidak wujud. Ketika itu hanya upah yang diberi sebagai ganjaran sesuatu kerja. Habis kerja, dapat upah! Kerja tak habis, boleh blah!

Revolusi Industri dan kebangkitan ekonomi kapitalis di Barat telah mencetuskan peluang kerja yang sangat besar. Mereka memerlukan buruh tetap untuk ‘production’ di kilang-kilang. Sehinggalah golongan buruh ini menjadi ramai dan kesatuan buruh diwujudkan. Hak-hak golongan buruh diperjuangkan.

Ketika saya masih kecil, kerja makan gaji sangat eksklusif. Mereka sangat dihormati, terutama guru, doktor dan askar.

“Amboi Limah, ada orang meminang anak kau ke? Apa kejenya?”, soal Mak Eton.

“Ha’ah Eton, datang meminang Siti. Dari Kolumpo, kerja gomen..cikguuuuu”, sahut Mak Limah. Macam menjerit pun ada. Kalau boleh dia mahu satu kampung tahu dia bakal bermenantukan cikgu.

“Untungnya kau Limah, dapat menantu cikgu! Senang hidup si Siti tu nanti”, celah Mak Jah. Bukan senang nak bermenantukan cikgu. Menantunya semua sekadar kerja kampung, tak standard.

Haaa, mungkin dialog begitu sinonim waktu zaman Mak dan Ayah saya masih bujang. Makan gaji memang ‘super power’. Saham melambung-lambung bak tsunami!!

Itulah kemuncak hidup bagi kerjaya makan gaji.

Kini makan gaji sudah ‘makan hati’. Kenaikan gaji semakin kecil, manakala kos hidup semakin meningkat. Tinggal di KL dengan pendapatan isi rumah sekadar RM3000 boleh dianggap miskin! Tiada keistimewaan langsung.

Saya juga melihat trend melompat-lompat kerjaya bertambah popular. Beberapa rakan saya di Universiti, dalam masa 3 tahun sudah bertukar kerja di empat buah syarikat! Semakin ramai juga yang berhenti kerja dan membuka perniagaan sendiri. Jadi freelancer.

“Aku muak la makan gaji. Kena ‘perah’ sampai kering, tapi gaji nak naik pun susah”, alasan mereka.

Sehingga saya berasa sangat hairan memikirkan ‘orang dulu-dulu’ bagaimana mampu kekal di sebuah tempat kerja selama berpuluh tahun. Tak bosan ke?

Mungkinkah 20 tahun akan datang, makan gaji sudah tidak relevan lagi? Dunia bakal kembali kepada keadaan asalnya, kerana orang tidak mahu lagi makan gaji! Semuanya bekerja sendiri. Ekonomi kapitalis bakal runtuh.

Saya sendiri pun tak tahu. Apa sahaja boleh terjadi dalam dunia akhir zaman ini.

Jadi Bagaimana?

Situasi di atas adalah pandangan saya secara peribadi, masa akan menentukan kebenarannya.

Walau apa pun, pilihlah kerjaya yang sesuai dengan jiwa dan kemahiran yang anda miliki.

Sekiranya anda selesa dan bahagia dengan makan gaji, teruskan sahaja. Jika anda seronok menjalankan arahan boss, biasa bekerja di bawah pemerhatian, tidak kisah dengan birokrasi, kerjaya makan gaji memang sesuai dengan anda.

Jika anda payah mendengar arahan, pantang orang lain menegur kesilapan anda, mahu segala maklumat sampai segera ke telinga anda, saya pasti kecenderungan anda adalah bekerja sendiri. Anda pekerja dan anda juga boss!

Mencari kerjaya idaman adalah suatu proses yang panjang dan berterusan.

Mungkin ada yang berkata, “Kenapa tak buat dua-dua sekali? Makan gaji dan bisnes secara sambilan!”.

Boleh saja, kenapa tidak? Pilihan di tangan anda.

Pelajar-pelajar saya, fikir-fikirkan...

Wallahu a'lam.

credit to ahmadfuad.com


No comments:

Post a Comment